Mengapa Allah Menjadikan
kita sebagai Khalifah di Muka Bumi : Tentang Penciptaan Manusia
"...(Allah) yang
mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,
sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah
melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah
Al-Baqarah: Ayat 255
Manusia
adalah makhluk ciptaan Allah yang Maha Agung. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka, manusia ialah makhluk yang mempunyai akal budi.
Jika
diperincikan lagi maksudnya, akal daripada aspek manusia bermaksud dapat
berfikir, manakala budi pula bermaksud kebijaksanaan.
Jadi
bolehlah dirumuskan secara ringkas dan umum daripada segi bahasa, bahawa
manusia itu adalah makhluk yang dapat berfikir dengan bijaksana.
Penciptaan Manusia
Dalam
Al-Quran telah diterangkan mengenai asal penciptaan manusia yang bermula
daripada tanah (Nabi Adam a.s.) kemudian seterusnya seperti mana firman Allah
s.w.t.:
"Dan sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia daripada suatu sari pati (berasal) daripada
tanah. Kemudian Kami jadikan sari pati itu air mani (yang disimpan) dalam
tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah,
lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu
Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan
daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha
Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik." -Surah
Al-Mu'minun: Ayat 12-14
Perlu
diingat bahawa asal penciptaan manusia di dalam Al-Quran bukanlah sebuah teori
atau sangka-sangka manusia.
Ini
adalah hakikat penciptaan manusia yang sebenar oleh Allah yang Maha Pencipta
dengan sebaik-baik ciptaan-Nya.
Malahan
Allah yang Maha Agung juga mampu mencipta sesuatu yang lebih baik dari manusia.
"Sesungguhnya
penciptaan langit dan bumi lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui." - Surah Al-Mu'min:
Ayat 57
Maka mengapa manusia
perlu sombong? Sombong dalam segala aspek
kehidupan, daripada segi
hartanya, keluarganya, pangkat dan kekuasaannya dan
ilmunya.
Yang membuat segala
sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya dan Yang memulai penciptaan manusia
daripada tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati air yang
hina. Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Nya
dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu
sedikit sekali bersyukur." - Surah As-Sajadah: Ayat
7-9
Sekiranya manusia
merasakan dirinya hebat dengan adanya pangkat dan kekuasaan, silaperhatikan
daripada apa ia diciptakan?
Bukankah
sperma melalui zakar yang berkongsi dengan air kencing?
Manusia
berkongsi tempat dengan saluran najis kencing, hinakah manusia?
Tidak
kira siapa pun juga, Presiden Amerika, Russia, China mahupun Sultan, Perdana
Menteri hatta para Nabi a.s. sekalipun melalui proses yang sama kecuali Nabi
Adam a.s., Hawa dan Nabi Isa a.s.
Akan
tetapi, Allah yang Maha Agung telah mengangkat manusia menjadi makhluk yang
mulia dan memberi gelaran yang terbaik. Pangkat yang terbaik dan mengatasi
segala gelaran atau pangkat yang diberikan oleh manusia.
Pangkat
dan gelaran terbaik itu selain para Nabi dan Rasul, adalah Muslim dan kemuliaan
yang paling mulia adalah manusia yang paling bertakwa di sisi Allah yang Maha
Agung.
Perlu
diingat, manusia tidak dapat mengatasi ketakwaan para Nabi dan Rasul kerana
mereka adalah maksum.
"...Sesungguhnya
orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling
takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal." -Al-Hujuraat: Ayat 13
Tujuan Manusia
Diciptakan
Pengasas (HPA) Herba Penawar Al-Wahida: Tuan Hj.Ismail
"Ingatlah ketika
Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan
(khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan
menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan
mensucikan Engkau. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak
kamu ketahui." - Surah Al-Baqarah: Ayat 30
Dalam ayat di atas
diterangkan tujuan manusia diciptakan adalah untuk dijadikan khalifah
di muka bumi.
Dalam
tafsir Ibn Katsir, ayat "menjadikan seorang khalifah" bukan sahaja
bermaksud untuk melantik pemimpin dalam kalangan manusia, malahan Allah
berkehendak melantik para Nabi dan Rasul.
Selain itu, Allah juga
berkehendak menjadikan di antara manusia itu para syuhada, orang-orang soleh,
wali-wali, ulama-ulama dan secara umumnya orang yang mencintai Allah serta
orang-orang yang mengikuti para rasul-Nya.
Apa yang paling utama
adalah Allah yang Maha Penyayang mahu memberi kenikmatan syurga kepada hamba-Nya
yang ingin menikmati syurga.
Jadi,
adakah kita benar-benar menepati tujuan kita diciptakan?
Adakah
kita benar-benar mencintai Allah yang Maha Agung dan mengikuti apa yang
diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.?
Adakah
kita benar-benar mahukan nikmat syurga?
"Dan Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." -Surah
Adz-Dzariyat: Ayat 56
Dalam ayat di atas,
Allah secara jelas menerangkan tujuan penciptaan jin dan manusia, iaitu untuk
menyembah-Nya. Tidak boleh dipersoalkan lagi.
Mengikut
Ibn Abas r.a., tidak diciptakan mereka (jin dan manusia) itu, kecuali untuk
tunduk (patuh) beribadah kepada Allah secara sukarela atau terpaksa.
Dalam tafsir Ibn Katsir
juga menerangkan sedemikian dan ditambah, manusia disuruh beribadah kepada-Nya
dan bukan kerana Aku (Allah yang Maha Tinggi) memerlukan mereka
(manusia).
Jadi,
adakah kita benar-benar memerlukan Allah atau kita memerlukan selain-Nya?
Adakah
kita lebih memerlukan pangkat, harta dan segala jenis keindahan di dunia
melebihi rahmat dan penjagaan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?
"Apakah manusia
mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa pertanggungjawaban)?" - Surah
Al-Qiyaamah : Ayat 36
"Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur, yang Kami
hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia
mendengar dan melihat." - Surah Al-Insaan: Ayat 2
Manusia
diberi ujian berupa tanggungjawab melaksanakan perintah dan menjauhi larangan
di bumi sebelum diadili di akhirat, iaitu penentu sama ada masuk syurga atau
neraka.
"Maka apakah kamu
mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan
bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" - Surah
Al-Mu'minuun: Ayat 115
Penciptaan Anggota Badan
"Yang telah
menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan
tubuh)mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun
tubuhmu." - Surah Al-Infithaar: Ayat 7-8
Allah
yang Maha Penyayang telah menciptakan manusia dengan tubuh badan yang sempurna,
seimbang dan rupa yang menarik.
Malah
keupayaan berfikir otak termasuk bahasa dan percakapan juga telah sempurna
semenjak penciptaan Nabi Adam a.s.
"Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." -Surah
Al-Tin: Ayat 4
Anggota badan telah
diletakkan sesuai pada tempatnya dan mudah digunakan. Jari-jari yang fleksibel,
mata yang dilengkapi alis mata dan semua penciptaan asal dari Allah telah
sempurna dan sesuai pada tempatnya.
Samakah penciptaan anggota tiruan
manusia dengan penciptaan original oleh Allah yang Maha Agung?
1.
Manakah yang lebih baik
antara tangan tiruan ciptaan manusia dengan tangan original ciptaan Allah?
Jawapan: Tentulah yang original.
2.
Manakah yang lebih baik
antara kaki tiruan ciptaan manusia dengan kaki original ciptaan Allah? Jawapan:
Tentulah yang original.
3.
Manakah yang lebih baik
antara pendengaran (telinga) dan penglihatan (mata) tiruan ciptaan manusia
dengan mata dan telinga original ciptaan Allah? Jawapan: Tentulah yang
original.
4.
Manakah yang lebih baik
antara hukum tiruan ciptaan manusia dengan hukum original (Al-Quran) ciptaan
Allah? Jawapan: Jawablah dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Nikmat manakah
yang hendak kita dustakan lagi?
Persoalan
Antara Sifat-Sifat
Semula jadi Manusia
01.Mengakui Kewujudan Tuhan
Semua
manusia telah diciptakan oleh Allah berada dalam keadaan mengakui akan
kewujudan yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu sama ada secara sedar atau
tidak.
"Maka hadapkanlah
wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah
menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.
(Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui..." - Surah
Ar-Ruum: Ayat 30
Disebabkan oleh manusia
sudah fitrahnya (fitrah disini bermaksud pembawaan atau sifat-sifat semulajadi)
mengakui akan kewujudan Tuhan, maka manusia perlu mencari bagaimana
memohon (mengadu nasib, melepaskan diri dari kesulitan dan sebagainya) kepada
Tuhan.
Maka diutuskan para
Rasul untuk memberi penjelasan kepada manusia mengenai Tuhan yang wajib
disembah dan sebenar-benar tempat bermohon, iaitu hanya menyembah Allah
yang Maha Esa dan tidak mensyirikkannya (agama tauhid).
Oleh sebab itu, wajiblah
bagi manusia untuk menuntut ilmu. Ilmu yang diajarkan oleh para Nabi
dan Rasul supaya tetap di jalan agama Allah yang lurus dan tidak
terjerumus dalam kesyirikan dan melanggar fitrah yang ditetapkan oleh Allah
yang Maha Agung.
Perumpamaannya,
seperti fitrah bumi dan bulan yang beredar dalam orbitnya.
Andai
kata bumi dan bulan melanggar sifat semulajadinya, pasti hancur keduanya
berlanggar sesama sendiri.
Begitu
juga manusia, jika melanggar fitrahnya, maka porak perandalah sistem kehidupan.
02.Dorongan Fisiologi
Dorongan
fisiologi disini bermaksud pentadbiran sistem badan tanpa sedar atau tanpa
perlu berfikir dan tanpa kehendak. Ini adalah salah satu nikmat terbesar
daripada Allah dan sangat diperlukan oleh manusia untuk meneruskan kehidupan
dan mengembangkan populasi manusia di muka bumi.
Sesungguhnya
Allah Maha Teliti ciptaan-Nya.
"Musa berkata:
Tuhan kami ialah (Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk
kejadiannya, kemudian memberinya petunjuk." - Surah
Thaahaa: Ayat 50
a.
Contohnya, perjalanan sperma, jantung yang berdegup, kefungsian buah pinggang,
kelenjar pituitari, sistem pernafasan dan pelbagai lagi nikmat yang dikurniakan
kepada manusia secara semulajadi tanpa manusia perlu berfikir untuk melakukan
itu semua.
Persoalannya, berapa
ramaikah di antara manusia pernah bersyukur akan nikmat jantung, buah
pinggang, hormon dan pelbagai lagi nikmat-Nya?
Pernahkah
walau sekali ketika selepas solat kita berdoa agar Allah yang Maha Penyayang
mengekalkan nikmat mata yang berkelip, jantung yang berdegup atau
sekurang-kurangnya mengucapkan syukur atas nikmat yang tidak terhingga ini?
b.
Termasuk dalam dorongan fisiologi adalah nafsu. Nafsu bermaksud dorongan hati
atau keinginan yang kuat. Kadangkala kita juga memerlukan kehendak, contohnya
apabila lapar, perut perlu diisi. Maksudnya kita tidak perlu berfikir samada
perlu lapar atau tidak. Ia berlaku secara semulajadi.
"(Nabi Yusuf a.s
berkata) Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya
nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat
oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." -Surah
Yusuf: Ayat 53
Ini
bermaksud nafsu itu adalah rahmat dan nikmat kepada manusia, tetapi dorongan
hati yang kuat untuk melakukan kemaksiatanlah antara punca kejahatan dan ia
dipanggil hawa nafsu.
Apa
yang paling penting adalah, manusia perlu mengenal dan memahami perbezaan nafsu
dan hawa nafsu dan bukan memeranginya, tetapi mengendalikannya kerana ia
sebahagian daripada fitrah manusia.
Bagaimana
mungkin kita memerangi fitrah Allah yang Maha Pencipta segala sesuatu?
Ciptaan
Allah yang Maha Agung adalah sempurna dan tiada kekurangan sebesar zarah
sekalipun; mahupun yang lebih kecil daripada itu. Setelah menciptakan, Dia
tidak pula membiarkannya begitu sahaja seperti di dalam ayat di bawah:
"Demi matahari dan
cahayanya di pagi hari, dan bulan apabila mengiringinya, dan siang apabila
menampakkannya, dan malam apabila menutupinya (gelap-gelita) dan langit serta
pembinaannya, dan bumi serta penghamparannya, dan jiwa serta penyempurnaannya
(ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan
ketakwaannya." - Surah Asy-Syams: Ayat 1-10
Oleh
sebab manusia diberikan nafsu, maka diilhamkan kepada manusia jalan kefasikan
dan ketakwaan. Maksudnya dalam tafsir Ibn Katsir adalah 'diberi kefahaman
kepada manusia mengenai jalan kebaikan dan keburukan'.
Jadi, manusialah
yang memilih mahu berbuat kebaikan atau keburukan berdasarkan tahap
pengendalian nafsunya.
Sumpah Allah yang Maha
Agung dalam ayat di atas dimulakan dengan penciptaan yang lebih besar daripada
penciptaan manusia, iaitu penciptaan alam semesta serta penciptaan langit dan
bumi serta memberi peringatan kepada manusia bahawa segala
sesuatu adalah ciptaan Allah yang Maha Agung termasuk jalan kefasikan dan
ketakwaan.
Sila perhatikan akhir Surah
Asy-Syams bagaimana orang yang cenderung mengikut hawa nafsu mengakhiri
hidupnya.
03.Dorongan Kerohanian atau Spiritual
"Dan perumpamaan
orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk
keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi
yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali
lipat. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis (pun memadai).
Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat." - Surah
Al-Baqarah: Ayat 265
Manusia
fitrahnya menyukai kebaikan, ketenteraman, rasa kasih sayang, hatta penganiaya,
perompak atau orang yang zalim seumpamanya juga mahukan kebaikan, kasih sayang
dan suasana yang harmoni.
Contohnya,
seorang pencuri akan berasa marah bila barangannya sendiri dicuri atau peragut
juga akan berasa marah jika dia sendiri diragut serta penjajah juga akan berasa
marah bila negaranya sendiri dijajah. Ini adalah fitrah manusia yang sentiasa
inginkan kebaikan.
Dalam
Surah Al-Baqarah, ayat 265 di atas diterangkan, manusia yang membelanjakan
hartanya di jalan Allah yang Maha Agung dan benar-benar yakin akan pahala amal
perbuatannya itu (Rujukan Ibn Katsir).
Daripada
aspek lain, manusia berusaha memenuhkan atau memuaskan keperluan rohaninya
dengan cara berbuat perkara-perkara kebaikan.
Persoalannya, jika
manusia secara semulajadi inginkan kebaikan, mengapa ramai manusia yang berbuat
kejahatan? Apakah yang memperdayakan manusia sehingga derhaka kepada
Allah yang Maha Tinggi?
Jawapan : Ini disebabkan
manusia terpedaya dengan hasutan syaitan yang memang membenci
dan bersumpah untuk menyesatkan semua manusia. Manusia juga gagal melawan
hasutan syaitan kerana kegagalan mengendali hawa nafsunya dan kegagalan
mengendali hawa nafsu pula disebabkan tiada ilmu
Antara Sikap dan
Perangai Manusia
1. Tergesa-gesa
"Manusia telah
dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perIihatkan kepadamu
tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan
segera." - Surah Al-Anbiyaa': Ayat 37
Manusia
bersifat tergesa-gesa dalam pelbagai urusan harian termasuk juga dalam hal
keagamaan. Contohnya dalam berdoa, solat dan lain-lain.
2. Berselisih Pendapat
"Manusia dahulunya
hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih. Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan
yang telah ada dari Tuhanmu dahulu, pastilah telah diberi keputusan di antara
mereka, tentang apa yang mereka perselisihkan itu." - Surah Yunus:
Ayat 19
Berselisih
pendapat dan kepelbagaian pendapat mempunyai maksud yang berbeza.
Berselisih
pendapat bermaksud bersengketa atau tiada muafakat serta berpecah belah.
Manakala
kepelbagaian pendapat bermaksud berbagai-bagai atau bermacam cara.
Contohnya,
kepelbagaian pendapat para sahabat radiyallahu anh dan para ulama mazhab
terdahulu adalah berdasarkan pemahaman mereka dalam Al-Quran dan Hadis dan
semua pendapat mereka adalah benar.
"Manusia itu adalah
umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi,
sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang
benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka
perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah
didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri..." -
Surah Al Baqarah: Ayat 213
Tetapi,
bukankah Allah yang Maha Agung yang menciptakan jalan kefasikan dan ketakwaan?
Mengapakah Allah yang Maha Agung mencipta perselisihan pada hamba-Nya?
Perlu
diingat segala perkara yang manusia gelar sebagai kebaikan mahupun keburukan
adalah datang dari Allah yang Maha Agung, kebaikan adalah rahmat-Nya, keburukan
juga rahmat-Nya sebagai ujian pada manusia, seperti dalam,
"...Untuk tiap-tiap
umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah
menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak
menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat
kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya
kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu, dan hendaklah kamu
memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (iaitu orang yang bersepakat membuat
hukum sendiri dan meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah)." - Surah
Al-Maa'idah: Ayat 48-49
Ayat
di atas juga adalah satu perintah agar tetap berpegang pada Al-Quran dan
As-Sunnah dan tidak membuat keputusan berdasarkan logik yang terdorong oleh hawa
nafsu semata-mata terutama mengenai prinsip-prinsip Islam termasuk dari segi
struktur pemerintahan, perundangan, pendidikan, sistem kemasyarakatan, ekonomi
dan kerohanian.
Kecacatan
salah satu dari sistem tersebut bermakna keruntuhan tamadun atau khilafah
Islam.
Ini
bermakna, salah satu cara asas dan umum bagi mewujudkan kembali khilafah Islam
dan menyatukan umat Islam adalah dengan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah
dengan sebenar-benar pemahaman (pemahaman sahabat r.a., tabiin dan tabiut
tabiin), bukan pemahaman sendiri dan logik akal semata-mata, malah agama tidak
didasari dengan logik sepenuhnya kerana akal manusia terbatas.
04.Zalim dan Bodoh
"Sesungguhnya Kami
telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya
enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan
dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan
amat bodoh..." - Al Ahzab: Ayat 72
Amanat
seperti ayat di atas mengikut Tafsir Ibnu 'Abbas r.a bermaksud ketaatan atau
perintah dan larangan.
Sebelum ditawarkan
kepada Nabi Adam a.s, ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi
ditolak kerana takut melanggar perintah Allah yang Maha Agung. Setelah itu
Allah yang Maha Agung menawarkan kepada Nabi Adam a.s dan diterima oleh Nabi
Adam a.s. Firman-Nya kepada Nabi Adam a.s,'Jika engkau berbuat baik, engkau
diberi balasan, jika berbuat buruk, engkau akan disiksa.' - Rujukan
tafsir Ibn Katsir.
Maksud
manusia menjadi zalim dan bodoh kerana setelah tahu wujudnya syurga dan neraka,
mereka tetap mahu mencari jalan menuju ke neraka dan setelah nampak kebenaran
mereka memilih kesesatan. Mohon semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi
kita dari azab api neraka. Hanya kepada Allah yang Maha Penyayang kita mohon
pertolongan.
05.Mengeluh dan Kikir
"Sesungguhnya
manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir." - Surah
Al-Ma'aarij: Ayat 19
Dari Abu Hurairah r.a :
Rasulullah saw bersabda, "Seburuk-buruk perangai yang ada pada seseorang
ialah sifat bakhil lagi gelisah dan sifat pengecut lagi pasif."
Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, dinukil
daripada tafsir Al-Munir.
Sebenarnya
terlalu banyak untuk diterangkan mengenai sikap dan perangai manusia serta
sifatnya seperti lemah, lalai, dengki, berbantah-bantah dan sebagainya.
Manakala
sikap dan perangai manusia yang baik adalah lawan pada keburukannya.
Kesimpulan
Bersyukur
kita kepada Allah yang Maha Agung yang telah menciptakan manusia dan
menyempurnakannya.
Janganlah
kita melanggar fitrah yang telah ditetapkan kerana perlanggaran itu boleh
membawa kemudaratan yang besar pada manusia seperti yang terjadi pada umat
Islam kini.
Semoga
Allah yang Maha Agung menyatukan umat Nabi Muhammad saw dan memenangkan kaum
muslimin terhadap orang-orang kafir. Segala puji-pujian bagi Allah yang Maha
Agung.
"Dialah Allah Yang
Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asmaaul
Husna. Bertasbih kepadaNya apa yang di langit dan bumi. Dan Dialah Yang Maha
Perkasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Al-Hasyr: Ayat
24